Monday, February 26, 2007
something to share
Pakar geografi yakin Johor akan alami banjir setiap tahun Saidah Hairan Thu Feb 22, 07 04:54:02 AM KUALA LUMPUR, 22 Jan (Hrkh) -Negeri Johor yang dilanda dua gelombang banjir pada Disember dan Januari lalu akan menghadapi suasana serupa pada masa akan datang memandangkan faktor kekuatan hujan (magnitude) di negeri itu.Pensyarah Jabatan Geografi Universiti Malaya, Profesor Dr Hamirdin Ithnin berkata, perubahan iklim dunia memberi kesan kepada kekuatan tiupan angin menyebabkan lebih banyak angin tengkujuh sampai ke bahagian selatan Semenanjung.Ini mengakibatkan beberapa negeri di Semenanjung terutamanya Johor mencatatkan kadar turun hujan yang tinggi.Faktor pemanasan global (global warming) jelasnya, menjadikan suhu yang dialami negara lebih tinggi berbanding 15 tahun dahulu.Menurut beliau, kadar suhu purata yang dicatat di tengah bandar Kuala Lumpur pada jam 3 petang meningkat dari 33 darjah selsius kepada 34 darjah selsius."Pada 15 tahun lalu, suhu 33 darjah selsius terlalu panas bagi negara ini tetapi sekarang ia dianggap biasa," ujarnya.Keadaan yang melanda negara ini, tegas beliau membuktikan kebenaran fenomena pemanasan global kerana di banyak tempat suhu didapati meningkat daripada 16 darjah selsius kepada 18 darjah selsius.Dr Hamirdin juga menjelaskan bahawa pemanasan global berpunca daripada fenomena 'kesan rumah hijau' (greenhouse effect) yang merujuk kepada pengumpulan gas karbon dioksida dan gas-gas lain (greenhouse gases) di atmosfera bumi.Gas-gas rumah hijau wujud secara semulajadi ataupun melalui aktiviti manusia seperti pembakaran terbuka, asap daripada kenderaan dan kilang perusahaan.Dr Hamirdin berkata, jika faktor pemanasan global ini menjadi penyebab kepada perubahan kekuatan tiupan angin, Johor akan mengalami banjir pada setiap tahun.Sehubungan itu, beliau menyarankan penduduk Johor supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir kerana ia akan menjadi fenomena biasa di negeri itu.Menurut beliau, jika dahulu setiap tahun Kelantan dan Terengganu menghadapi banjir ekoran monsun Timur Laut, perubahan kekuatan angin akan menolak angin monsun sehingga ke Sumatera Barat.Dr Hamirdin juga menjelaskan bahawa musibah banjir di Johor boleh dihindari dengan memperbaiki sistem saliran sedia ada dan mengekalkan kawasan hijau termasuk di kawasan penempatan.Oleh itu, beliau menasihati kerajaan negeri supaya menghentikan sebarang aktiviti pembalakan di Johor.Mengulas tentang banjir bertakung yang berlaku di Batu Pahat, beliau menjelaskan keadaan tapografi di sebelah barat Johor yang mempunyai tanah pantai yang rendah menyebabkan keupayaan air untuk mengalir ke laut terhad.Menurutnya, apabila terlalu banyak air permukaan (surface run off) dihasilkan tetapi tidak berlaku infiltrasi (air masuk ke dalam bumi atau serapan), ia akan menyebabkan air bertakung."Ini mungkin berlaku akibat gangguan proses hidrologi apabila tumbuhan atau pokok-pokok di kawasan tadahan yang boleh menyerap air ditebang.""Sistem saliran seperti parit, longkang dan sungai yang ada tidak bersedia mengalirkan air dengan lancar," katanya.Tanah jenis gambut yang banyak terdapat di Johor, katanya turut menjadi faktor kerana walaupun ia bagus untuk menyerap air tetapi mudah menjadi tepu dalam jangka masa singkat.Menurut beliau, fenomena air bertakung ini hanya boleh dikurangkan melalui peruwapan (evaporation) iaitu dengan cara air bertukar menjadi wap dan diserap oleh pokok-pokok.Dr Hamirdin merumuskan bahawa fenomena banjir yang melanda Johor sebenarnya berpunca daripada "perbuatan tangan-tangan manusia" sejak 30 tahun lalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment